Selamat Datang Ke Blog Julia Mat .... PENAFIAN : Pihak Pembangun Blog tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang diperoleh daripada blog ini.

Saturday 24 November 2012

TIPS PENULISAN KARANGAN

Dalam peperiksaan, sebelum membuat sesuatu karangan , kita hendaklah memilih dan memahami tajuk atau kehendak soalan karangan itu. Selepas itu kita fikirkanlah pula tentang :
A. Pengenalan
B. Isi-isi dan
C. Penutup

A. Pengenalan
Setiap karangan mestilah mempunyai perenggan pengenalan. Dalam pengenalan kita hendaklah memperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak tahu atau faham. Kita hendaklah menarik perhatiannya supaya ingin membaca karangan itu.

Pengenalan ini dibuat secara ringkas dan am sahaja, memadai tiga atau empat ayat. Pembukaan karangan yang menarik akan meninggalkan kesan yang positif dan mendalam kepada pemeriksa.

 B. Isi
Isi hendaklah mengikut kehendak soalan. Dalam UPSR, biasanya setiap karangan memerlukan empat isi. Isi yang lebih tidak mengapa tetapi mungkin menyebabkan kekurangan masa. Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait antara satu dengan lain.

Isi-isi itu dipecahkan dalam perenggan-perenggan. Isi yang utama didahulukan. Murid-murid digalakkan menulis satu isi, satu perenggan. Setiap-tiap perenggan tidak semesti sama panjangnya. Mungkin sesuatu perenggan itu lebih panjang daripada perenggan yang lain. Ini kerana sesuatu isi utama yang ingin ditekankan oleh murid-murid biasanya lebih panjang daripada perenggan yang lain.

Jaga isinya supaya tidak terkeluar daripada tajuk yang dikehendaki. Elakkan menyertakan isi yang bercanggah dengan tajuk. Mengapa pelajar cemerlang mendapat banyak isi ? Ini kerana mereka banyak membaca. Untuk mendapat isi yang baik dan banyak, kita hendaklah banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah, rencana-rencana, buku-buku cerita, mendengar sesuatu, menyaksikan sendiri dan dari pengalaman sendiri.